Lewat kebelakangan ini, sudah menjadi kebiasaan aku untuk pergi membeli makanan sarapan pagi bersama-sama teman sepejabat hampir setiap hari.
Walau pun menu sama sahaja setiap hari, dan kami sudah pun sangat bosan untuk menghadap makanan pagi, kami tetap teruskan rutin. Bukan kerana makanan, tetapi kerana itulah sahaja masa paling sesuai untuk kami bersosial sesama sendiri. Andai dinanti saat makan tengah hari, ah, pasti sahaja moodnya sudah lain.
Bak kata dia pagi tadi, "... bukannya lapar... tapi saja nak jalan-jalan waktu pagi, ceria kan diri sekejap... cara yang bagus untuk mulakan hari kita, kan..."
Ah, teman... betapa benar pernyataan mu itu...
Rutin pagi kita menenangkan hariku, menyamankan hatiku. Kalau difikir-fikirkan semula, it's like we "grow up" better because of those few minutes in the morning - the enlightening "morning walk".
Tapi pagi tadi, memang jauh lebih istimewa.
Teman ku ini telah berkongsi sesuatu yang menginsafkan aku. Katanya, dia sudah mula mendengar radio IKIM semasa memandu di waktu pagi dalam perjalanan ke tempat kerja (dulu selalunya HITZ atau HOT, panas!). Dan pagi tadi, dia mendengar Ustaz di radio menyatakan betapa pentingnya manusia sentiasa mendidik dan mengingatkan diri supaya selalu bersyukur atas apa yang kita ada.
"Ustaz tu kata, dia selalu dapat panggilan dan pertanyaan daripada pasangan suami-isteri yang tak puas hati dengan pasangan masing-masing."
"Diorang mengadu yang diorang penat bila asyik memberi sahaja dalam perhubungan tu dan tak mendapat kepuasan yang setimpal. Sampai tahap diorang kata, "suami saya sepatutnya...., isteri saya sepatutnya..."... ntahlah, tak ingat istilah apa yang Ustaz tu guna untuk gambarkan pasal nie..."
"Tapi yang uniknya, tu, kan... dia kata, kita tak bleh fikir macam itu. Kita tak boleh terlalu fikirkan tentang apa yang patut dan tak patut berlaku."
"Katanya, "Bayangkanlah tentang nikmat dan pemberian yang telah Allah kurniakan pada kita. Tak pernah Dia tuntut balasan atas kasih dan kemurahan hatiNya pada kita, kan? Jadi, kita tak sepatutnya mengharapkan balasan atas apa yang telah kita berikan. Sepatutnya, kita bersyukur dan memberi tanpa mengharapkan balasan. Allah sentiasa memberi kepada kita, tapi kita bukan selalu membalasnya dengan amal ibadah. Malah selalu pula kita lupa untuk bersyukur..." Insaf, kan?"
Aku terdiam saat dia menghabiskan kuliah pagi Jumaat itu.
Teringat kepada sahabat-sahabat dan kerja yang selalu sahaja menuntut perhatian ku dan aku ikutkan, tetapi setelah itu mengaduh pula kerana merasakan bagai diri tidak mendapat keadilan atas usaha yang telah aku curahkan.
Teringat kepada ibu ku, adik2ku dan arwah ayah ku. Betapa aku katakan kepada diri sendiri yang aku sedang memberikan pengorbanan untuk mereka tetapi aku mengharapkan pula penghargaan mereka atas apa yang telah kononnya aku korbankan.
Dan ketika itu lah sahabatku tadi melihat ke wajah ku dan bertanya, "Kenapa?"
Aku katakan pada dia:
"Takde apa. Insaf. Tiba-tiba teringat betapa saya tak pernah cukup mensyukuri apa yang ada dalam hidup nie. Ingatkan diri sendiri dah banyak berkorban, tapi lupa rupa-rupanya saya selalu mengharapkan balasan atas pengorbanan sekelumit itu. Insaf, wak... kata-kata ustaz tue memang menginsafkan."
Terima kasih, teman, atas kuliah pagi Jumaat tadi.
Sama-samalah kita saling mengingatkan...
dan BERSYUKUR.
Pasal Toujours Advanced Collagen Shots
10 years ago


