Saturday, August 8, 2015

Iman Mutiara

Iman Mutiara

(http://www.youtube.com/watch?v=Zxz6CE0gn3k)
Artist: Raihan Song Category: Nasyid

Iman adalah mutiara

Di dalam hati manusia

Yang menyakini Allah

Maha Esa Maha Kuasa


Tanpamu iman bagaimanalah

Merasa diri hamba padaNya

Tanpamu iman bagimanalah

Menjadi hamba Allah yang bertaqwa


Iman tak dapat diwarisi

Dari seorang ayah yang bertaqwa

Ia tak dapat dijual beli

Ia tiada di tepian pantai


Walau apapun caranya jua

Engkau mendaki gunung yang tinggi

Engkau merentas lautan api

Namun tak dapat jua dimiliki

Jika tidak kembali pada Allah


Jika tidak kembali pada Allah

REZEKI: Kisah kemurahan hati Tuhan

Allah Yang Maha Pemurah - bagaimana mungkin aku ceritakan betapa kemurahan rezeki dan nikmat yang telah Dia kurniakan buat-ku? Mana mungkin aku akan bisa mencukupi apa jua amal ibadah ku demi untuk menyatakan syukur dan terima kasih ku atas kelebihan yang telah Dia pinjamkan dan anugerahkan?

Sesungguhnya aku hanyalah insan yang maha lemah, paling kuat sekali pun, aku hanya mampu berusaha dan berserah - mencuba sedaya-upaya dan terus pasrah atas ketentuan-Nya.

Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi, siang dan malam, terang dan gelap, baik dan jahat, bijak dan tolol, iman dan nafsu, syurga dan neraka.... dan segala macam yang mampu atau tidak mampu manusia fikir dan ketahui.

Ini kisah REZEKI - kisah aku ditemukan dengan rezeki Tuhan Yang Maha Kaya dalam keadaan yang takkan mampu ditelahi oleh akal insan yang sempit dan terbatas. Kisah aku yang diriwayatkan di sini demi untuk saling mengingatkan sekalian umat Muhammad tentang nikmat dan syukur, tentang cinta dan kasih, tentang hamba dan Pencipta.

~~~~~~~~~~~

Lewat petang itu, aku sudah pun bersiap-sedia untuk pulang awal dari pejabat kerana telah berjanji dengan seorang teman yang sedang datang berziarah ke rumah-ku.

Selalunya, memang aku akan pulang setelah mentari senja mengufuk barat, malahan kadang-kala selalu pula saat-saat embun jantan sudah mula membasahi bumi di dinihari. Jangan persoal-kan kesetiaan aku menjadi penunggu di pejabat usang ini - percayalah, aku sendiri senantiasa meragui kejujuran hati untuk berada di sini. Bukan, aku tidak rajin, cuma memang aku akui aku lembab - maka terpaksalah aku gantikan kelewatan menyempurnakan tugasan dengan pengorbanan masa demi dapat aku buktikan pada diri-ku sendiri betapa dedikasi-ku untuk pekerjaan ini. Itulah kebiasaannya...

Namun, petang itu adalah luar biasa. Petang itu adalah istimewa. Teman rapat dari dunia kampus ku dulu telah datang menziarahi aku sejak semalamnya. Lalu, perkara yang paling logik patut aku lakukan sebagai sahabat ialah meluangkan masa untuk dia yang datang dari jauh semata-mata untuk memenuhi pelawaanku supaya tidur di rumah.

Dan semuanya telah aku rancang baik-baik... Aku akan pulang awal dan menemuinya di stesen komuter, kemudian kami akan pulang ke rumah bersama-sama. Kami telah sama-sama menyusun agenda untuk petang dan malam itu.

Akan tetapi, sesungguhnya manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang Maha Menentukan Segala-galanya. Tanggal 2 Julai 2010 itu menjadi salah satu Jumaat yang menjadi saksi ke atas ketentuan-Nya. 

Bayangkanlah... setelah acap kali mengingatkan diri sendiri tentang betapa pentingnya bagi aku untuk pulang awal dari pejabat - perancangan demi perancangan, janji demi janji - namun, alah bisa tegal biasa... sementelah aku bersiap-siap untuk pulang, ada sahaja tuntutan tugas di minit-minit terakhir yang perlu aku selesaikan... Kesudahannya, aku tetap pulang lewat dari pejabat... Sememangnya 'rutin' telah 'mengalahkan' 'tekad dan azam' ku untuk meluangkan masa yang lebih banyak dengan sahabat istimewa ku itu... Tidak ku sangka masa berlalu begitu pantas ... 

Waima begitu, alhamdulillah aku cepat tersedar daripada kesilapan ku menelah masa, lalu terus  segera aku meninggalkan tugasan yang tidak dijangka itu dan bangkit mengemaskan barangan ku dan bertolak pulang. Aku sedar sepenuhnya yang aku telah terlewat dan mungkin sahaja mengundang kemarahan sahabat ku itu. Aaa... apalah justifikasi yang boleh menyejukkan hati teman ku itu... 

Dalam benak fikiran ku, walau bagaimanapun, apa yang lebih menyesakkan minda adalah apabila aku menyedari bahawa waktu selewat itu mana mungkin akan ada lagi teksi yang lalu melewati pejabat usang ini... kalau bas, memang sudah tiada lah... (nota: zaman ini, aku belum mempunyai lesen memandu) 

owh, apalah nasib... kusut, kusut... Sambil kaki ku melangkah maju ke arah hentian bas/teksi di hadapan pejabatku, sambil itulah mindaku berserabut memikirkan bagaimana hendak aku cari jalan untuk sampai ke stesen komuter tersebut. Hendak berjalan kaki, pasti lebih satu jam pun, belum tentu aku akan tiba ke tempat yang dituju..

Dari kejauhan, hentian bas/teksi itu kelihatan kosong... tak berpenghuni... Langkah kaki ku makin melonglai perlahan... Kucapai pula dompet dalam tas tangan... Allah... Tak cukup untuk aku telefon perkhidmatan teksi, kerana bayaran tambahan yang dikenakan melebihi peruntukan kewangan aku pada petang itu... 

Hatiku makin sayu... Saat inilah aku sangat menyesali keputusan untuk menangguhkan kelas dan ujian memandu ku... Alangkah bahagia nya jika aku mempunyai lesen dan boleh memandu kenderaan sendiri pada masa ini...

Dan fikiran ku menerawang semakin jauh...

Tiba-tiba, kedengaran bunyi sebuah kereta datang dari belakang ku... Aku ke tepi dan memberikan laluan... Dalam hati kecilku pula, aku mengeluh lagi buat kesekian kali... 'Mengapalah aku tidak belajar memandu awal-awal?'

Kereta itu pun mula berlalu pergi... Dan aku tunduk memandang bumi... Langkah ku semakin sepi...

Dan, pada masa itulah baru aku sedari bahawa kereta tadi telah pun berhenti dan pemandu serta sahabatnya yang berada dalam kereta menjenguk keluar tingkap. 'Eh, macam aku kenal pula perempuan-perempuan itu?' Hatiku mula berteka-teki...

"Awak, marilah kami hantarkan..."

Alangkah merdunya suara itu...

"Eh, awak berdua... Takpelah... Saya tak nak menyusahkan..." Aku rasa bersalah pula...

"Tak susah pun lah, marilah masuk dalam kereta."

Aku memandang mereka... Kurenung dan kutenung mata mereka... Ya Allah, betapa Maha Pemurahnya Engkau... Saat aku benar-benar perlukan pertolongan, Dia memberikan bantuan pada hambaNya ini. Alangkah bersyukurnya aku... Alhamdulillah... Terima kasihku tidak terhingga kepada Dia...

Lantas, bibirku menguntum senyum ke arah teman-teman itu. Cepat sahaja aku menaiki kereta mereka dan menyatakan arah tujuan ku. Walau pun perjalanan kami tidak sehala, mereka bermurah hati untuk menumpangkan aku ke destinasi ku dahulu. Mulanya aku pohon mereka untuk meninggalkan aku di tepi jalan yang boleh aku menahan teksi, namun mereka penuh keikhlasan tetap menghantar aku ke stesen komuter dahulu.

Sepanjang perjalanan, hatiku dan jiwaku tidak putus-putus mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Mulutku pula mengulang-ulang rasa terima kasih ku terhadap teman-teman itu. Kami saling berbasa-basi dan berkongsi cerita tentang perjalanan hari itu. Rupa-rupanya mereka selalu pulang lebih awal. Tetapi pada hari itu, ada pula bebanan tugas yang menuntut lebih masa. Memandangkan mereka tinggal berdekatan, mereka berpakat untuk pulang lebih lewat bersama-sama. 

Subhanallah... Betapa indahnya percaturan takdirMu, ya Allah. Tiada manusia biasa akan mampu memahami Qada' dan Qadar Mu andai Engkau tidak ajari kami. Aku selamat sampai untuk menemui temanku di stesen dengan izinNya, sedangkan kalau mengikut logik akal, aku mungkin masih 'berjalan kaki' lagi... Sesungguhnya memang hanya Dia yang Maha Mengetahui...

Begitulah kisah REZEKI yang ingin aku coretkan di sini. Kisahnya kecil sahaja. Ceritanya pendek cuma. Namun dalam sela masa yang singkat itu, aku telah pelajari lebih banyak ilmu tentang rezeki, qada' dan qadar Tuhan, kesyukuran dan nikmat Allah - berbanding mana-mana kelas agama atau moral yang berjam-jam lamanya. Betullah kata orang-orang bijaksana - Ilmu Allah yang sangat luas, hanya Allah yang dapat mengajar hambaNya dalam cara yang terbaik...

Hingga ke hari ini pun, aku masih akan sebak apabila memikirkan betapa kemurahan rezeki Allah tidak bertempat dan tiada had atau batasan. Yang paling penting adalah betapa kita perlu membuka mata hati untuk bersyukur atas setiap nikmat yang diberikan - walau sebesar atau sekecil mana pun. Wallahua'lam... 

Thursday, August 4, 2011

Bicara Refleksi Sekilas Lalu...

Sekilas detik memori silam menyinggah lalu di benak minda kosong ini, aku terpanggil mengabadikan setiap idea yang datang bertubi-tubi mengasak fikiranku.

Namun, entah sejak bila hatiku acapkali saja mematikan perjalanan neuron yang bertali-arus menyuruh aku untuk meluahkan saja semuanya - setiap kali dengan alasan yang sama: "aku terlalu sibuk dengan tugas harian".

Bukankah mati tidak pernah akan melayangkan jemputan awal? Tidak pernah akan memberikan amaran kedatangannya?

Bila lagi akan kita sedari hakikat bahawa kehidupan ini harus kita nikmati jua.....?

Life is never easy, but it surely is easier when you start to enjoy living.

(^_^")

Friday, July 16, 2010

Kuliah Pagi Jumaat

Lewat kebelakangan ini, sudah menjadi kebiasaan aku untuk pergi membeli makanan sarapan pagi bersama-sama teman sepejabat hampir setiap hari.

Walau pun menu sama sahaja setiap hari, dan kami sudah pun sangat bosan untuk menghadap makanan pagi, kami tetap teruskan rutin. Bukan kerana makanan, tetapi kerana itulah sahaja masa paling sesuai untuk kami bersosial sesama sendiri. Andai dinanti saat makan tengah hari, ah, pasti sahaja moodnya sudah lain.

Bak kata dia pagi tadi, "... bukannya lapar... tapi saja nak jalan-jalan waktu pagi, ceria kan diri sekejap... cara yang bagus untuk mulakan hari kita, kan..."

Ah, teman... betapa benar pernyataan mu itu...

Rutin pagi kita menenangkan hariku, menyamankan hatiku. Kalau difikir-fikirkan semula, it's like we "grow up" better because of those few minutes in the morning - the enlightening "morning walk".

Tapi pagi tadi, memang jauh lebih istimewa.

Teman ku ini telah berkongsi sesuatu yang menginsafkan aku. Katanya, dia sudah mula mendengar radio IKIM semasa memandu di waktu pagi dalam perjalanan ke tempat kerja (dulu selalunya HITZ atau HOT, panas!). Dan pagi tadi, dia mendengar Ustaz di radio menyatakan betapa pentingnya manusia sentiasa mendidik dan mengingatkan diri supaya selalu bersyukur atas apa yang kita ada.

"Ustaz tu kata, dia selalu dapat panggilan dan pertanyaan daripada pasangan suami-isteri yang tak puas hati dengan pasangan masing-masing."

"Diorang mengadu yang diorang penat bila asyik memberi sahaja dalam perhubungan tu dan tak mendapat kepuasan yang setimpal. Sampai tahap diorang kata, "suami saya sepatutnya...., isteri saya sepatutnya..."... ntahlah, tak ingat istilah apa yang Ustaz tu guna untuk gambarkan pasal nie..."

"Tapi yang uniknya, tu, kan... dia kata, kita tak bleh fikir macam itu. Kita tak boleh terlalu fikirkan tentang apa yang patut dan tak patut berlaku."

"Katanya, "Bayangkanlah tentang nikmat dan pemberian yang telah Allah kurniakan pada kita. Tak pernah Dia tuntut balasan atas kasih dan kemurahan hatiNya pada kita, kan? Jadi, kita tak sepatutnya mengharapkan balasan atas apa yang telah kita berikan. Sepatutnya, kita bersyukur dan memberi tanpa mengharapkan balasan. Allah sentiasa memberi kepada kita, tapi kita bukan selalu membalasnya dengan amal ibadah. Malah selalu pula kita lupa untuk bersyukur..." Insaf, kan?"

Aku terdiam saat dia menghabiskan kuliah pagi Jumaat itu.

Teringat kepada sahabat-sahabat dan kerja yang selalu sahaja menuntut perhatian ku dan aku ikutkan, tetapi setelah itu mengaduh pula kerana merasakan bagai diri tidak mendapat keadilan atas usaha yang telah aku curahkan.

Teringat kepada ibu ku, adik2ku dan arwah ayah ku. Betapa aku katakan kepada diri sendiri yang aku sedang memberikan pengorbanan untuk mereka tetapi aku mengharapkan pula penghargaan mereka atas apa yang telah kononnya aku korbankan.

Dan ketika itu lah sahabatku tadi melihat ke wajah ku dan bertanya, "Kenapa?"

Aku katakan pada dia:

"Takde apa. Insaf. Tiba-tiba teringat betapa saya tak pernah cukup mensyukuri apa yang ada dalam hidup nie. Ingatkan diri sendiri dah banyak berkorban, tapi lupa rupa-rupanya saya selalu mengharapkan balasan atas pengorbanan sekelumit itu. Insaf, wak... kata-kata ustaz tue memang menginsafkan."

Terima kasih, teman, atas kuliah pagi Jumaat tadi.

Sama-samalah kita saling mengingatkan...

dan BERSYUKUR.

Wednesday, June 30, 2010

~mAmA: the untold story 2~

Pernah tidak kamu merasa seperti kamu benar-benar marah dan kecewa dengan layanan ibu-mu terhadap-mu? Bagaikan ingin menjerit dan menengking kerana hati yang bengkak dengan rasa pilu melihat ketidakadilannya terhadap kamu?

Pasti aku tergolong sebagai anak derhaka kerana ketidak-puasan hati ini... Bentak hati-ku pasti akan mengheret jiwa ke neraka jahanam...

Tapi, mengapa aku masih lagi tidak mahu insaf? Kenapa aku masih lagi bersikap "ah! biarlah aku derhaka! aku bengang! suka hati aku lah!!!!!"?

Memang dasar manusia kufur nikmat. Manusia lain yang sudah yatim piatu di luar sana pasti akan mengeji aku.

Tapi, lewat kedewasaan usia ini, aku memang sedih dengan sikap ibu yang bercakap tanpa memikirkan perasaan aku.... (though I know that I am a fool for saying these because it is clear that children hurt their parents more with wicked words and harsh voices... and not being careful and mindful of what they say and how they say it to their elders...)

Aku tahu aku salah, tapi bebelan-nya semasa dia marah sangat menusuk kalbu-ku - bagaikan aku manusia yang tiada nilai langsung... hampas kelapa lagi baik!

~~sedih~~

Agaknya bagaimana lah rupa aku bila menjadi ibu....?

Thursday, June 24, 2010

Pabila hati lebih senang bicara cinta...

Kebelakangan ini, aku masih selalu teringatkan dia, teringatkan mereka....

Kadang-kadang rasa macam hampeh sangat.... Bukan ke aku patutnya get my own life dan bukan sangap lagi nak pikirkan sesuatu yang tak pernah wujud?

Maybe aku nie manusia nostalgic - yang mungkin realis dan idealis pada masa yang sama, tapi aku masih tetap suka kepada memori-memori ingatan silam...

Yelah... kalau dah hati ni asyik rasa macam kekurangan sesuatu.... haisyh....

Kawan aku kata maybe aku patut ada hobi dan "aktiviti" baru - to get my mind off things... lebih-lebih lagi bila dia asyik kena dengar aku bebel pasal kebosanan dan depresi aku menghadap keja yang tak pernah nak abis... x penah nak siap...

Cemburu juga bila dengar kawan-kawan yang main sports, atau lepak dengan kawan2, etc...

Umur dah tua... tapi aku masih macam kanak2 ribena yang x tak pernah nak dewasa...

Mahal betul nilai kematangan aku rupanya!

Wednesday, June 16, 2010

1ne 4our 6ix

Terlanjur menjadi diri sendiri, aku selalu tanyakan soalan ini: KENAPA?

Kenapa mesti aku jadi sesuatu yang orang lain mahu lihat sedangkan aku hakikatnya bukan begitu?

Kenapa aku kalah pada hasutan hawa nafsu sendiri sedangkan tahun demi tahun aku terus istiqamah membuat resolusi?

Kenapa tidak aku tunaikan sahaja resolusi-resolusi itu, kenapa mesti aku berlengah dan terus-terusan membuat alasan?

Excuses demi excuses - dan aku masih lagi menanyakan soalan yang sama: KENAPA....?